Thursday, 13 October 2011

ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM


TEKS KHUTBAH JUMAAT MASJID
SELURUH NEGERI MELAKA

TAJUK :  ETIKA PERNIAGAAN DI DALAM ISLAM
TARIKH : 9 MAC, 2001 (13 ZULHIJJAH 1421)

Para jemaah yang dirahmati Allah sekalian,
Pada mimbar jumaat kali ini saya akan bawakan kepada tuan-tuan khutbah yang bertajuk " Etika Perniagaan Di dalam Islam "
Sebagaimana yang kita maklum bahawa perniagaan merupakan satu tuntutan agama kepada umatnya kerana dengan adanya perniagaan maka orang-orang Islam dapat menjalani kehidupan seharian mereka dengan selesa. Sekiranya kita menyorot kembali sejarah perniagaan di dalam Islam, ia bermula dengan peranan yang dimainkan oleh Rasulullah sebelum beliau diutuskan menjadi rasul. Di masa kecilnya baginda telah di bawa oleh bapa saudaranya ke negeri Syam untuk berniaga. Ketika usianya meningkat 25 tahun. Baginda telah diupah oleh seorang ahli perniagaan perempuan yang terkenal di Mekah iaitu Saidatina Khadijah Binti Khuwailid untuk menguruskan harta perniagaannya. Sepanjang pengurusan baginda terhadap perniagaannya, Saidatina Khadijah mendapat keuntungan yang berganda-ganda.
Selain dari beliau sendiri ramai sahabat baginda yang menceburkan diri di dalam bidang perniagaan. Mereka mendapat keuntungan yang banyak, antaranya ialah AbdurRahman Bin Auf. Beliau bukan sahaja terkenal di Mekah malahan terkenal juga di Madinah. Di antaranya faktor utama keuntungan yang mereka perolehi ialah kerana mereka berniaga mengikut etika yang digariskan oleh Islam.
Oleh sebab itu kita hendaklah sentiasa peka kepada etika tersebut khususnya barang atau benda yang dijual. Antara syarat pertamanya, jangan ada sesuatu barang yang hendak dijual itu najis seperti babi, arak atau sebagainya. Ini termasuk makanan yang diperbuat atau dicampur dengan salah satu daripada bahan yang najis walaupun sedikit ;
Syarat kedua, barang yang dijual hendaklah bermanfaat kepada pembeli, dan tidak sah dijual seperti semut, kerangka dan sebagainya ;
Syarat ketiga, barang yang hendak dijual adalah milik mutlak penjual itu sendiri dan bukannya milik orang lain kecuali sekiranya dia diwakilkan untuk menjualkannya ;
Syarat keempat, hendaklah barang itu suatu yang dapat dilihat dengan jelas seperti rupanya, warnanya, jumlahnya dan sebagainya; manakala
Syarat yang kelima, hendaklah pembeli menerima suatu yang hendak dibelinya dengan sempurna.
Syarat-syarat tersebut adalah di antara syarat-syarat yang ditetapkan oleh agama kita, kerana Islam tidak mahu berlaku penipuan atau penyelewengan daripada penjual terhadap pembeli.
Perbuatan  menipu ini sangat-sangat dilarang keras oleh Rasulullah seperti hadisnya yang bermaksud : " Siapa yang menipu kami maka dia bukan dari golongan kami, yakni kita tidak mengaku bahawa orang yang menipu itu dari umatnya "
Saudara kaum muslimin yang dikasihi,
Terdapat sesetengah peniaga Islam yang mengurangkan timbangan atau sukatan. Baginda Rasulullah s.a.w. menasihatkan peniaga ini supaya sentiasa bersikap jujur di dalam timbangan sebagaimana hadis baginda yang bermaksud : " Timbang dan lebihkan timbangan kamu ". Kerana balasan kepada peniaga yang sengaja mengurangkan timbangan atau sukatan dijelaskan oleh Allah dalam surah Al-Mutaffifin ayat 1-3
Maksudnya : " Ada suatu sungai di dalam neraka jahannam itu disediakan bagi orang yang hina, yang apabila mereka menyukat atau menimbang akan sesuatu yang mereka jual maka akan mengurangkan sukatan atau timbangan tetapi apabila membeli barangan dari orang lain mereka akan melebihkan sukatan atau timbangan untung mereka "
Oleh itu saya menyeru kepada peniaga-peniaga Islam agar segera sedar dan insaf serta muhasabah diri adakah selama ini tuan-tuan ada melakukan sifat-sifat terkutuk itu. Sekiranya tidak teruskanlah perniagaan tuan, semoga diberkati Allah. Tetapi sekiranya tuan-tuan ada melakukannya maka bersegeralah berhenti, bertaubatlah kepada Allah kerana kita tidak mahu, selain daripada dosa, darah daging yang terjadi daripada hasil yang haram akan dibakar oleh api neraka. Sebagaimana hadis Rasulullah yang bermaksud : " Mana-mana daging kita yang dari hasil yang haram, maka api neraka lebih utama akan menjilatnya " kadang-kadang kita tidak sedar bahawa kemewahan yang kita nikmati melalui hasil perniagaan yang haram itu seperti membeli pakaian, tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya akan memberi keburukan kepada kita semasa di dunia lagi,
Kaum muslimin yang diberkati Allah,
Oleh itu untuk mendapatkan rezeki yang halal melalui perniagaan, setiap peniaga mestilah mengamalkan ciri-ciri murni ketika berniaga seperti jujur, menjual barang-barang yang halal, tidak menipu dacing dan lain-lain. Kerana apa yang kita mahukan ialah keberkatan dari Allah. Apa gunanya kita digelar ahli perniagaan yang ternama, orang kaya, ahli koprat yang terkenal, jutawan, tetapi hasil yang kita perolehi melalui cara yang haram. Untuk menambahkan lagi keberkatan harta perniagaan kita, maka adalah lebih afdal sekiranya harta tersebut dikeluarkan zakat, berderma dan bersedeqah kepada orang-orang susah, anak-anak yatim atau sebagainya.
Kaum muslimin yang dikasihi  Allah,
Agama Islam memang menggalakkan umatnya melibatkan diri di dalam bidang perniagaan yang halal. Kerana melalui perniagaan yang halal, hasil yang kita perolehi akan bertambah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud : " 90 % rezeki yang Allah berikan kepada manusia di dunia ini, adalah melalui perniagaan ". Manakala dalam Al-Quranulkarim Allah berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 88 yang bermaksud : " Dan makanlah dari rezeki yang telah diberikan Allah kepada kamu iaitu yang halal lagi baik, dan bertaqwalah kepadanya, Allah yang kepadanya sahaja kamu beriman ".

No comments:

Post a Comment